Wednesday, March 13, 2013

Jom Bukit Tinggi!

Bukit Tinggi
(24/3/2009 – 27/3/2009)

Ejen Pelancongan:Persendirian
Penerbangan:Air Asia
Jumlah Pakej:RM350 seorang (Termasuk hotel dan penerbangan)
Hotel:Campago Resort Hotel
Kadar Matawang:RM1 = Rp3,239 (Rupee)
Perbezaan Waktu:+7:00GMT (-1 jam dari Kuala Lumpur)


Istana Pagaruyung [1]

Perjalanan ke Bukit Tinggi, Padang, Indonesia ini telah dilakukan pada tahun Mac 2009 selepas letih dengan majlis persandingan. Dengan kata lain, ini merupakan destinasi berbulan madu yang pertama buat kami suami isteri. Walau bagaimanapun, saya telah kehilangan beberapa maklumat penting ketika berada di sana terutamanya perbelanjaan yang dilakukan. Jadi, di dalam blog kali ini, saya akan cuba dan berusaha untuk mengingatkan kembali dan menceritakan semula perjalanan di sana secara terperinci.

Kali ini, banyak rujukan yang diambil dari blogger lain. Almaklumlah, kenangan 2009. Banyak gambar yang hilang. Kepada blogger-blogger di sana, jangan marah ye. Alang-alang membantu menambah follower anda.




Hari Pertama : 24/3/2009

Destinasi Utama:Bukit Tinggi
Bertolak:Lapangan Terbang LCC, Kuala Lumpur - 9.15am
(lewat sejam dari jadual)
Tiba:Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau – 9.15am
Suhu Persekitaran:28oC
Jumlah Perbelanjaan:Teksi dari lapangan terbang ke Hotel Campago, Bukit Tinggi - Rp230,000
Makan Tengahari - Rp12,000 seorang
Makan Malam di Hotel - Rp20,000 seorang

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, kami terus mencari teksi meter untuk ke hotel. Walau bagaimanapun, tiada perkhidmatan teksi bermeter di lapangan terbang ini. Setiap transaksi adalah secara tawar menawar. Jadi, kami telah didatangi pelbagai tawaran untuk menaiki teksi. Akhir sekali, kami menerima tawaran dari seorang supir berjumlah Rp230,000 sehingga ke hotel.

Di dalam perjalanan ke hotel, kami singgah seketika di restoran padang untuk membungkus makanan tengahari. Tiada yang menarik di sepanjang perjalanan ini. Hanya hutan, kebun getah dan kelapa sawit yang menghiasi kiri dan kanan jalan. Sesekali kami terjumpa perkampungan kecil. Perjalanan selama 2 jam ini adalah sangat membosankan.

Perjalanan ke Bukit Tinggi
Kami tiba di Kota Bukit Tinggi pada jam 11.30 pagi. Setelah terlihat Jam Gadang yang merupakan tanda utama di Bukit Tinggi, kami pasti hotel yang akan kami menginap tidak jauh dari situ. Walau bagaimanapun, supir tadi tidak menemui jalan masuk untuk ke hotel kami. Kami dipaksa untuk membayar upah tambahan kerana kegagalannya. Ketika sedang bertegang, saya ternampak papan tanda kecil menuju ke hotel. Jalan masuk yang memang kecil menyukarkan kami untuk menemui jalan tersebut. Jadi, tiada upah tambahan yang perlu dijelaskan.

Hotel Campago
Setelah masuk ke kawasan hotel, kami agak terpegun. Hotel Campago merupakan hotel butik yang terletak 5 minit menaiki kenderaan dari kota Bukit Tinggi. Kawasannya yang bersih dan tenang cukup memuaskan untuk kami, sangat berbaloi dengan bayaran yang dibuat.
Pemandangan dari dalam bilik
Untuk hari pertama, kami tidak ke mana-mana. Hanya berjalan-jalan di sekitar hotel dan menikmati pemandangan yang ada. Makan malam kami juga hanya di hotel kerana tiada perancangan terperinci dilakukan sebelum ke Bukit Tinggi ini. Jadi, pihak hotel telah membantu kami mengatur perjalanan di Bukit Tinggi untuk 3 hari nanti.


Hari Kedua : 25/3/2009

Destinasi Utama:Taman Margasatwa dan Budaya Kinantan dan Taman Panorama
Suhu Persekitaran:25oC
Jumlah Perbelanjaan:Taman Panorama - Rp3,000 seorang
Taman Margasatwa dan Budaya Kinantan - Rp3,000 seorang
Upah Supir - Rp300,000

Pada hari ini, kami telah dicadangkan oleh pihak hotel untuk menggunakan seorang supir. Penat berusaha untuk mengingatkan namanya, tapi tak termampu. Baik orangnya. Yang penting, pandai untuk membawa kami ke tempat yang pasti kami suka. Hanya ingat panggilannya mas sahaja.

Selepas sarapan, kami memulakan perjalanan pada jam 10.00 pagi ke sekitar kota Bukit Tinggi. Mas telah bercadang untuk membawa kami ke Taman Margasatwa dan Budaya Kinantan. Bayaran masuk hanyalah Rp3,000 sahaja. Di sini anda akan menemui Kebun Binatang Bukit Tinggi yang terletak di atas Bukit Cubadak Bungkuak. Seperti di zoo, anda akan menemui binatang seperti gajah, pelanduk, orang utan dan unta.

Kedai cenderahati di Kebun Binatang [2]
Di kebun binatang ini juga terdapat Rumah Adat Baanjuang ataupun dikenali sebagai Rumah Gadang. Malangnya, pada hari kami tiba di sini, rumah ini sedang menjalani pembaikpulihan dan kami tidak dibenarkan untuk masuk. Sekadar bergambar di halaman sahaja. 

Rumah Adat Baanjuang [3]
Di sini juga terdapatnya kubu Fort De Kock yang dibina oleh kerajaan Belanda ketika Perang Padri pada tahun 1825. Kubu ini mengambil nama Leftenan General pada masa itu iaitu Hendrik Merkus de Kock. Kubu ini dihubungkan dengan Taman Margasatwa dan Budaya Kinantan melalui sebuah jambatan iaitu Jembatan Limpapeh.

Jembatan Limpapeh [2]
Fort de Kock [2]
Kemudian kami ke Taman Panorama yang juga terletak berdekatan Kota Bukit Tinggi. Di sini terletaknya Ngarai Sianok (canyon) dan juga Lobang Jepang yang menjadi tumpuan pelancongan di Bukit Tinggi. Tiket untuk memasuki Taman Panorama ini juga hanyalah Rp3,000. Murah sahaja. Jadi, jangan lepaskan peluang.

Ngarai Sianok [4]
Untuk memasuki Lobang Jepang, anda perlu membayar Rp3,000 lagi. Untuk kami, kami hanya bergambar di luar sahaja. Takut juga untuk masuk ke dalam. Entah kenapa.

Lobang Jepang [5]
Di sini terdapat banyak jualan kain sulaman dan bunga yang cantik. Mengikut kata mas, harga di sini agak mahal sekiranya dibandingkan di Pasar Atas dan Pandai Sikek. Jadi, cukuplah sekadar kami mecuci mata sahaja di sini.

Kemudian, kami menghala ke Pandai Sikek yang terletak di kaki Gunung Singgalang dan Gunung Merapi. Gunung Singgalang dikatakan gunung berapi yang tidak aktif. Manakala beberapa amaran telah dikeluarkan akibat letusan asap putih Gunung Merapi pada Mei 2012. Berikutan kedudukan Padang yang berada di lingkarang gunung berapi aktif ini juga,  berlakunya gempa bumi yang berskala 7.6 dalam radius 50km sehingga menyebabkan lebih 1000 kematian pada September 2009. Sedih mendengarkan berita ini kerana di Padang tersimpan pelbagai sejarah kebudayaan.

Gunung Merapi
Pandai Sikek merupakan pusat kerajinan tradisional di dalam menghasilkan kain songket dan sulaman seperti pada namanya. Terdapat banyak kain songket dan sulaman cantik yang boleh diperolehi dengan harga yang murah di kawasan ini. Anda hanya perlu pandai bertawar dengan peniaga-peniaga tersebut. Di sini kami melawat sebuah kedai yang dinamakan Satu Karya. Pemilik ini menyatakan kain songketnya ditenun sendiri dan mengambil masa 4 hari untuk menyiapkan 2 meter kain. Sungguh cantik.

Kedai Satu Karya
Salah satu alat tenun di kedai Satu Karya
Kain songket yang berjaya ditangkap
Cukup untuk hari ini. Kami pulang semula di Kota Bukit Tinggi untuk bergambar di Jam Gadang. Di situ terdapatnya Pasar Atas untuk anda berbelanja. Namun disebabkan belanja besar di Pandai Sikek, kami hanya berjalan-jalan dan membeli sedikit cenderahati buat buah tangan saudara mara di rumah.

Jam Gadang
Kedai di Pasar Atas [6]
Pada waktu malam, kami mendapatkan sate padang yang terkenal lazatnya. Malangnya restoran yang terkenal iaitu Mak Syukur tidak dibuka dan kami dibawa makan sate di restoran lain. Sate di sini adalah berbeza cara hidangannya. 6 batang sate akan diletakkan di dalam satu pinggan yang dibanjiri dengan kuah gulai. Jika kena caranya, memang sedap. Tapi pada malam itu, tidak seperti yang kami harapkan.

Restoran tutup, hanya lampu yang menyala

Hari Ketiga : 26/3/2009

Destinasi Utama:Danau Meninjau, Tapak Istana Pagaruyung
Suhu Persekitaran:26oC
Jumlah Perbelanjaan:Upah Supir - Rp300,000


Hari ini kami bercadang untuk ke Danau Meninjau. Seperti Danau Toba, ia terbentuk daripada kawah letusan gunung berapi. Ia merupakan danau kedua terbesar di Sumatera Barat. Perjalanan ke sini mengambil masa selama 3 jam dari Kota Bukit Tinggi. Kami juga melewati jalan yang dikenali sebagai Kelok 44. Nama ini adalah berikutan jalannya yang curam dan berliku tajam. Kami tidak sampai ke penghujung Kelok 44. Mungkin lebih dari separuh dan kami berhenti untuk bergambar di situ.

Pemandangan Danau Meninjau

Pulang dari Danau Meninjau, kami melalui tapak replika Istana Pagaruyung atau Istana Basa di Batusangkar yang telahpun terbakar akibat panahan petir pada tahun 2007. Difahamkan bahawa Istana Basa yang asli telahpun terbakar sejak tahun 1804 di Batu Patah ketika berlakunya rusuhan di situ. Maklumat lanjut berkenaan kronologi kebakaran istana ini boleh diperolehi di sini.

Istana Basa yang sedang dibina [7]
Kami juga mengambil peluang untuk melihat kawasan perumahan di kawasan Tanah Datar ini. Lebih menarik apaila kebanyakan antara mereka mempunyai sawah padi sendiri. Rumah-rumah yang dibina juga bercirikan Minangkabau.

Rumah di Tanah Datar
Kolam yang dijadikan sawah apabila tanahnya tersedia
Kemudian kami terus ke restoran Bakso Iga yang terletak 10 minit dari Kota Bukit Tinggi. Permintaan kami, kami ingin makan di restoran yang mas makan. Yang bersih, sedap dan murah. Jadi, inilah tempat yang supir kami bawa.

Menu di restoran Bakso Iga
Memang sedap dan harganya yang berpatutan membuatkan 1 mangkuk bakso tidak cukup untuk kami seorang. Kuantiti dan kualiti yang diberikan membuatkan kami makan dengan khusyuk sekali.

Sangat menyelerakan
Selesai makan di Bakso Iga, kami terus pulang ke hotel untuk berehat. Pada waktu malam, kami sekadar makan di hotel sahaja.



Hari Keempat: 27/3/2009

Destinasi Utama:Bersiar-siar di Jam Gadang dan pulang ke Kuala Lumpur
Suhu Persekitaran:28oC
Jumlah Perbelanjaan:Upah Supir - Rp300,000

Ini merupakan hari terakhir kami. Selepas sarapan dan check-out, kami terus menuju ke Jam Gadang untuk bersiar-siar sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang. Pada hari ini penerbangan kami adalah pada jam 5.00 petang dan tidak banyak yang dapat kami lakukan.

Walau bagaimanapun, semasa pulang menghala ke lapangan terbang, akhirnya kami berjaya untuk makan tengahari di Sate Mak Syukur. Sate kali ini dapat dijamah sepuas-puasnya dan menepati selera yang kami mahukan. Mujur juga mas supir ingat janjinya untuk membawa kami ke Sate Mak Syukur. Kalau tidak, menyesal tak berkesudahan dibuatnya.

Memuaskan [8]

Sedikit sebanyak, begitulah kisah kami di Bukit Tinggi, Padang, Indonesia. Jika diberi pilihan, saya memang akan ke sana semula. Tidak puas menikmati pemandangan, makanan dan budaya di situ.


Rujukan:
[1]  zainulabs.blogspot.com
[2]  myworldfahamiz.blogspot.com
[3]  my.opera.com/indrajourney/blog
[4]  www.jaring-ide.com
[5]  indonesiapariwisata.blogspot.com
[6]  myelsakee.blogspot.com
[7]  www.antarasumbar.com
[8]  www.inidiarinurul.com


3 comments:

  1. Ingin melawat ke Padang dan Bukittinggi? Kami menyediakan perkhidmatan supir dan pakej disana.Semua urusan dilakukan di Malaysia.Maklumat lanjut call 0126665436(call,sms,whatapp)Atau boleh lawati blog saya:
    http://freelancetour.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Saya mohon maaf pada Tuan/Puan untuk boleh iklan sedikit disini, semoga kebaikan hati Tuan/Puan untuk memberi izin iklan ini, menjadi amal ibadah disisi Allah SWT hendaknya amiin….

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

    Contact person : Amsyahril
    Mobile : +6285263007445 ( WhatsApp )
    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.

    ReplyDelete
  3. Mohon maaf Tuan & Puan, kami numpang promotion
    Kami menawarkan Pakej Percutian ke Medan dan Danau Toba
    Lake Tour 04 Hari / 03 Malam MYR 380 ( 10 orang )
    Pakej kami design sangat murah dan berkualitas
    FULL SERVICES
    Hotel 3 Bintang
    Makanan Halal
    Driver humble
    Pemandu Pelancongan professional

    Sila contact Tiara Tours Indonesia
    Jln. Panglima Denai No. 76 Medan, 20227
    Licensed : 503/508.SK/IUP/BPW/MM/2011
    Tel/Fax : +6261 - 733 59 765
    Email : tiaratoursindonesia@gmail.com.
    HP / WA +6281383535091
    HP / WA +6285358982828
    HP / WA +6285762820068

    TERSEDIA LAYANAN SEWA KERETA DAN BUS PERSIARAN
    Toyota Avanza (05 orang ) MYR 155 / Hari
    Suzuki Eritga (05 orang ) MYR 155 / Hari
    Inova Reborn (05 orang ) MYR 175 / hari
    Isuzu Elf (11 orang ) MYR 235 / Hari
    Toyota Hiace (11 orang ) MYR 320 / Hari
    Medium Bus ( 27 orang ) MYR 500 / Hari

    Note :
    HARGA SEWA KERETA SUDAH TERMASUK : DRIVER AND PATROL

    ReplyDelete