Thursday, February 3, 2011

Jom Hong Kong!!

Hong Kong
(6/1/2011 – 9/1/2011)

Ejen Pelancongan:Persendirian
Penerbangan:Air Asia
Jumlah Pakej:RM1,095 seorang (Termasuk hotel dan cukai penerbangan)
Hotel:Empire Hotel Hong Kong, Causeway Bay
Kadar Matawang:RM1 = HK$2.53
Perbezaan Waktu:Tiada (+8:00GMT)




Kita mulakan dengan aktiviti melancong ke sebuah Negara yang terkenal dengan MTR (Mass Transit Railway) yang mempunyai ketepatan 99% terhadap servis yang diberikan. Sememangnya kita tidak akan sekali-kali merungut dengan infrastruktur yang terdapat di sini.

                                                          
Walaupun ramai berpendapat aktiviti melancong di Negara ini adalah rumit bagi mereka yang beragama Islam kerana soal makanan, pada saya ia adalah suatu cabaran. Mari lihat apa yang kami lakukan dan perbelanjaan yang dibuat untuk menghabiskan cuti selama 4 hari di Negara ini.




Hari Pertama : 6/1/2011

Destinasi Utama:Hong Kong
Bertolak:Lapangan Terbang LCC, Kuala Lumpur - 6.20am
Tiba:Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong – 10.15am
Suhu Persekitaran:18oC
Jumlah Perbelanjaan:HK$98 seorang (Pengangkutan)


Airport Express
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, kami bercadang untuk terus check-in di hotel dan berehat seketika setelah 4 jam berada di dalam penerbangan. Kami bercadang untuk menaiki Airport Express yang menghubungkan MTR dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Di sini kami terus menghala ke stesen Hong Kong yang terletak sejauh 25 minit perjalanan menggunakan Airport Express. Sekiranya anda datang secara berkumpulan, pastikan anda terus bertanya di kaunter berkenaan tiket untuk menaiki Airport Line ini kerana secara kebetulan kami telah mendapat harga promosi dengan menggunakan Pass For Two berharga HK$160 sahaja, berbanding dengan harga pas bagi seorang iaitu HK$100.


Peta Perjalanan MTR
Setibanya di stesen Hong Kong, kami menukar haluan dengan menaiki MTR di stesen Central untuk terus ke stesen Tin Hau yang berjumlah HK$5 seorang. Ini memandangkan hotel yang kami tempah adalah berdekatan dengan stesen Tin Hau. Untuk mengetahui perjalanan anda, semestinya pencarian yang lebih awal perlu dilakukan. Cara penggunaannya adalah hampir sama dengan LRT di Malaysia. Jadi, untuk mengetahui arah yang tepat bagi pergerakan anda, sila lawat website http://www.mtr.com.hk/index.php untuk mengetahui berkenaannya dengan lebih lanjut.


Empire Hotel Hong Kong,
Causeway Bay
Stesen Tin Hau
Perjalanan daripada stesen Central ke Tin Hau mengambil masa lebih kurang 11 minit dan setiap perjalanan di dalam stesen MTR sekitar Hong Kong sentiasa berada di bawah tanah. Maka tak perlulah mengharapkan pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan anda. Dari stesen Tin Hau, kami berjalan kaki ke Empire Hotel Hong Kong, Causeway Bay selama lebih kurang 8 minit. Bergantung kepada kelajuan kaki anda. Cuaca yang sejuk ketika itu telah melambatkan perjalanan kami dan memberi kami peluang untuk melihat sekitar kawasan tersebut. Berkenaan hotel pula, ia agak menarik. Walaupun kami mendapat bilik yang agak kecil, tetapi dari sudut keselesaan, ia adaah memuaskan.


Peta Lokasi Masjid
Dim Sum
Setelah melepaskan penat di hotel buat seketika, kami memulakan pengembaraan kami dengan mengisi perut yang kosong di Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Center di Oi Kwan Road yang terletak 15 minit berjalan kaki dari stesen Wan Chai. Satu-satunya masjid yang mempunyai kantin dengan masakan halal yang dapat kami cari di Hong Kong ini. Kami ke sini dengan menaiki MTR dari stesen Tin Hau ke stesen Wan Chai yang berjumlah HK$4. Ia terletak di kawasan yang agak sukar untuk dicari. Di sini kami menunaikan solat dan seterusnya menjamu selera dengan masakan Cina yang sememangnya sedap dan melegakan tekak. Kami memilih untuk mengambil dim sum dan nasi goreng seafood pada hari pertama ini. Berbanding dengan kedai-kedai Pakistan yang lain, harga yang diberikan adalah sangat berpatutan. Satu set dim sum boleh didapati dengan harga HK$8 hingga HK$12. Untuk dikongsi seramai 2 orang, memang sudah mengenyangkan. Sup yang dijual adalah pada harga HK$30 hingga HK$50. Agak mahal tetapi berpatutan dengan jumlah yang diberikan kerana boleh dikongsi seramai 4 orang bagi 1 set tersebut.


International Finance Center
Selesai kisah makan, kami terus ke stesen Central untuk menikmati keindahan kehidupan bandar Hong Kong di IFC (International Finance Center). Di sini juga terdapat sebuah pusat membeli-belah iaitu IFC Mall yang kebanyakannya dipenuhi oleh warga kota dan pekerja asing profesional. Sungguh berbeza dengan Kuala Lumpur. Mungkin disebabkan oleh cuacanya yang agak sejuk. Walau bagaimanapun, malam semakin sejuk hingga mencecah suhu 8oC. Seperti nak beku tangan dibuatnya. Satu perkara yang tak disangka-sangka, Hong Kong tak memberikan sebarang WIFI percuma seperti di Malaysia. Kalau anda bercadang untuk menggunakan internet, sila cari kedai The Pacific Coffee Shop. Kedai ini ada menyediakan beberapa buah PC yang disambungkan ke internet untuk digunakan secara percuma. Jadi, sekiranya anda ke Hong Kong dan bercadang untuk bercuti sambil bekerja yang memerlukan kemudahan internet, sila pastikan telefon anda lengkap dengan kemudahan roaming. Setelah selesai berjalan di sekitar kawasan ini sehingga 9.00pm, kami terus pulang ke hotel dan makan malam di bilik sahaja. Cuaca yang sangat sejuk membuatkan kami tidak mampu lagi untuk berjalan ke tempat lain.


Hari Kedua: 7/1/2011

Destinasi Utama:Macau
Jumlah Perbelanjaan:HK$318 (Pengangkutan)
Kadar Matawang:RM1 = MOP$ 2.63 (Pataca)


Stesen Feri Shun Tak
Pada hari ini, kami telah merancang untuk ke Macau. Tepat jam 9.00am kami terus ke stesen Tin Hau dan membeli tiket ke stesen Sheung Wan yang berharga HK$5. Stesen ini merupakan stesen terakhir bagi Island Line. Di sini terdapat Shun Tak Terminus yang merupakan feri yang akan membawa kami ke Macau dan feri yang akan dinaiki adalah pada jam 10.00am. Di sini kami memilih untuk menaiki TurboJet kelas ekonomi yang berharga HK$134 seorang. Perjalanan ke Macau akan mengambil masa selama 1 jam 15 minit. Sekiranya hujan lebat, mungkin ia akan mengambil masa lebih lama.


The Venetian
Suasana di dalam The Venetian
Setibanya di Terminal Maritimo, Macau, anda tidak perlu menukar duit kepada MOP$ (Pataca) memandangkan segala transaksi boleh dilakukan menggunakan HK$. Namun, anda mungkin akan rugi 0.10 sen bagi setiap RM1 memandangkan duit Pataca adalah lebih murah berbanding HK$. Kami kemudiannya terus menaiki bas shuttle di hadapan terminal tersebut ke The Venetian Macau. Untuk pengetahuan anda, The Venetian Macau merupakan pusat casino terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk ke sini dan melihat aktiviti yang terdapat di dalam casino tersebut. Sekiranya anda pergi pada waktu malam, ia dikatakan lebih cantik dan menarik. Di dalam casino tersebut juga terdapat pelbagai kawasan yang menarik untuk bergambar seperti pemandangan ala-ala Venice. Sekiranya anda mempunyai banyak masa, cubalah menaiki gondola yang disediakan di situ. Anda boleh memilih sekiranya anda ingin pengayuh gondola yang pandai menyanyi untuk menghiburkan anda sepanjang pelayaran tersebut. Harga bagi menaiki gondola tersebut adalah sebanyak MOP$108 bagi dewasa dan MOP$80 bagi kanak-kanak.

Senado Square
Seterusnya kami melangkah kembali ke Terminal Maritimo untuk menghala ke destinasi yang lain. Kami seterusnya menaiki bas nombor 10 dengan harga HK$3.50 seorang. di hadapan terminal tersebut  untuk menuju ke Senado Square. Rakyat tempatan biasanya memanggil kawasan ini dengan nama San Ma Lo. Jadi, jangan terkejut sekiranya ada yang bertanya kepada anda sekiranya hendak ke San Ma Lo. Untuk ke sini, anda juga boleh menaiki bas nombor 3 dan 12. Malah kebanyakan bas yang terdapat di Macau juga adalah melalui kawasan ini. Jadi,, tak perlu risau. Setibanya di Senado Square, kami melihat hasil peninggalan Portugis di mana bangunan yang dibina menggambarkan keindahan seni binaan Portugis di masa lalu.

Runtuhan St. Paul
Sekiranya anda terus berjalan di sekitar Senado Square tersebut, terdapatnya runtuhan St. Paul’s (St. Paul’s Ruins) yang juga merupakan daya tarikan Macau. Ia merupakan runtuhan gereja Mater Dei yang dibina pada tahun 1602. Pada tahun 1835, telah berlakunya kebakaran yang menyebabkan gereja ini mengalami kerosakan teruk dan meninggalkan hanya permukaan depan gereja tersebut.


The Fisherman's Wharf
Memandangkan jam telah menunjukkan pukul 4.00pm, kami bergegas pulang ke Hong Kong kerana kami merancang untuk menuju ke Kowloon pada malam tersebut. Kami menaiki semula feri di Terminal Maritimo dengan harga HK$142 seorang. Tidak tahu mengapa harga pulang ke Hong Kong adalah lebih mahal. Yang kami pasti, harga perjalanan pada waktu malam akan mencecah HK$176 seorang. Sekiranya anda tidak merancang untuk ke tempat lain dan ingin menghabiskan masa sehari di Macau, anda boleh berjalan kaki ke Fisherman’s Wharf daripada Terminal Maritimo. Ia juga merupakan destinasi pelancongan yang terkenal. Selain itu, terdapat juga Taipa Village, Guia Fortress, Macau Tower dan Historic Center yang merupakan kawasan tarikan pelancong di Macau.


Ladies Market
Setelah pulang ke Hong Kong, kami pergi semula ke Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Center di Oi Kwan Road untuk mendapatkan makan malam yang memuaskan. Selepas itu, kami terus ke Ladies Market yang terletak di Kowloon dengan menaiki MTR dari stesen Wan Chai ke stesen Central dan bertukar ke  Tsuen Wan Line sehingga ke stesen Mong Kok. Jumlah yang perlu disediakan adalah sebanyak HK$14.50 sehala. Di sini perbandingan yang boleh dilakukan adalah seperti di Petaling Street, Kuala Lumpur. Pelbagai barang dijual di sepanjang jalan tersebut. Barang yang paling murah dapat kami beli di sini adalah T-Shirt yang dijual dengan harga HK$20 sehelai. Sekiranya anda ingin membeli cenderahati untuk dibawa pulang, harga barang-barang di sini adalah berpatutan. Tetapi, pastikan anda tidak memikirkan dengan bersungguh soal kualliti. Pilih dengan baik, anda akan mendapat sesuatu yang memang berkualiti. Jika tidak, mungkin untuk digunakan dalam masa yang singkat sahaja. Cubalah untuk bertawar harga di situ. Anda pasti boleh! Selesai di Ladies Market, kami terus pulang ke hotel dan mengakhirkan hari yang penat dengan tidur yang nyenyak.


Hari Ketiga : 8/1/2011

Destinasi Utama:The Peak & Hong Kong Disneyland
Jumlah Perbelanjaan:HK$117 (Pengangkutan)


Peak Tram
Sky Terrace
Pada jam 9.00am kami memulakan hari dengan bersarapan Bagel di Starbucks berdekatan stesen Central. Itu sahaja yang dapat kami makan sebagai pembuka selera di hari ketiga kami di sini. Kemudian kami terus menghala ke The Peak yang terletak berdekatan dengan stesen Central. Untuk menaiki Peak Tram sahaja harganya berjumlah HK$36 (pergi dan balik) dan sekiranya bercadang memasuki Sky Terrace dan melihat pemandangan Hong Kong dari atas, bayarannya adalah sebanyak HK$56 (termasuk Peak Tram pergi dan balik). Semestinya kami tidak akan melepaskan peluang untuk melihat pemandangan yang menarik di situ.


Pemandangan dari Sky Terrace
Sekiranya ingin menetahui lebih lanjut mengenai The Peak ini, sila lawati laman web The Peak di http://www.thepeak.com.hk/en/home.asp. Di The Peak, kami telah menaiki Sky Terrace dan melihat pemandangan Hong Kong dari atas yang begitu menarik. Udara yang sepoi-sepoi dan sejuk memberikan ketenangan buat seketika. Setalah sejam berada di situ, kami terus pulang ke Central untuk terus menuju ke Hong Kong Disneyland.

Hong kong Disneyland
Pertunjukan Bunga Api
Kami tiba di Hong Kong Disneyland, pada jam 2.15pm dan waktu yang diperlukan untuk berjalan di sekitar Disneyland ini adalah mencukupi. Tetapi sekiranya ingin membawa anak-anak ke sini, masa sekurang-kurangnya 6 jam diperlukan kerana mereka pasti tidak mahu ketinggalan untuk merasa setiap aktiviti yang terdapat di situ. Kami ke sini menaiki MTR menggunakan Tung Chung Line dari stesen Central ke Sunny Bay dan bertukar ke Disneyland Resort Line ke Disneyland. Jumlah yang diperlukan adalah sebanyak HK$24 seorang dan tiket Disneyland pula berharga HK$175 seorang. Pastikan anda berada di Disneyland sehingga penutup kerana seperti di Disneyland lain, ia juga akan mengadakan pertunjukan bunga api berlatarkan muzik tepat pada jam 7.00pm. Memang terpegun melihat suasana ketika itu dan jumlah mereka yang hadir pertunjukan itu sahaja mungkin mencecah 5,000 orang. Jadi, pastikan anda bersedia lebih awal di hadapan Sleeping Beauty Castle tersebut.


Tepat jam 7.45pm, kami pulang ke Hong Kong dan terus ke Causeway Bay menaiki MTR. Di situ kami ke Sogo untuk melihat perbezaan jualannya dengan Kuala Lumpur. Seperti di Kuala Lumpur, kedudukan dan posisinya adalah hampir sama. Harga juga tidak begitu berbeza.


The Times Square
Kemudian kami ke Times Square yang terletak berdekatan. Pada kami, itulah Pavillion yang terdapat di Hong Kong. Banyak barang-barang yang berjenama yang boleh didapati di situ dengan harga yang murah berbanding Kuala Lumpur. Bayangkan sekiranya harga satu dompet Coach di butik Coach sendiri adalah HK$350. Memang murah. Dari sudut ketulenan, mungkin hanya anda boleh menilainya. Tidak banyak yang kami lakukan di Times Square. Sekadar melihat dan berjalan di sekitarnya. Selepas itu, kami terus pulang ke hotel.


Hari Keempat : 9/1/2011

Destinasi Utama:Lo Wu, Shenzhen
Jumlah Perbelanjaan:HK$174 (Pengangkutan)
Kadar Matawang:RM1 = RMB$ 2.10 (Renminbi)


Pada jam 9.30am kami telah check-out di hotel kami menginap. Walau bagaimanapun, beg yang dibawa ditinggalkan di hotel memandangkan tiada kemudahan untuk meletakkan beg yang besar di mana-mana stesen MTR. Dari stesen Tin Hau, kami terus ke Lo Wu. Pertama sekali kami menukar laluan MTR daripada Island Line di Central ke Mong Kok melalui Tsuen Wan Line. Kemudian kami bertukar ke laluan Kwun Tong Line menghala ke Kowloon Tong. Kemudian kami menukar lagi laluan ke East Rail Line dan terus ke Lo Wu, Shenzhen, China.


Lo Wu, Shenzhen
Malang bagi kami kerana hanya sempat berada selama 30 minit untuk berbelanja di Lo Wu. Perancangan untuk menghabiskan masa selama 2 jam tidak kesampaian kerana kami menghadapi masalah di Imigresen Shenzhen. Sememangnya tiada masalah ketika keluar di Imigresen Hong Kong. Hanya ketika ingin memasuki Shenzhen. Oleh itu, kepada anda yang bercadang untuk ke sana, pastikan anda mempunyai Visa untuk memasuki Shenzhen. 


Terdapat pejabat untuk membuat visa di situ, tetapi mungkin mengambil masa 30minit untuk disiapkan. Sekiranya anda ingin mendapatkan Visa di situ, pastikan anda terus membuatnya sebelum beratur di Imigresen Shenzhen. Lokasi pejabat Visa tersebut mungkin agak pelik. Sejurus sebelum beratur di Imigresen Shenzhen, anda akan menyedari terdapatnya escalator di sebelah kiri anda untuk naik ke atas. Di situ terdapatnya pejabat untuk membeli Visa. Sekiranya anda ingin membeli Visa menggunakan duit Hong Kong, anda perlu membeli visa tersebut di pejabat lain di tingkat yang sama. Jumlah yang diperlukan untuk membuat Visa tersebut adalah sebanyak HK$160 seorang. Memang membazir dengan jumlah masa yang tinggal untuk kami berjalan-jalan. Seboleh-bolehya, sediakan wang RMB sebelum tiba di Shanzhen. Ini kerana mereka tidak menerima HK$ sekiranya ingin berbelanja. Mungkin kerana HK$ adalah jauh lebih murah.

Apabila jam telah menunjukkan pukul 12.30pm, kami terus bertolak pulang ke Hong Kong kerana perlu bersiap-sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 5.30pm. Berakhir perjalanan kami ke Hong Kong-Macau-Shenzhen yang hanya memakan masa selama 4 hari. Pada saya tidak mencukupi. Mungkin 5 hari lebih baik sekiranya berkesempatan. Selepas ini, perancangan yang lebih teliti perlu dibuat sekiranya aktiviti seperti ini hendak dilakukan. Jumpa lagi di lain tempat!!  J




6 comments:

  1. Any english version?

    ReplyDelete
  2. as for suggestion, for link atleast highlight or letak different colour eh. :)
    bru nmpak tu link ;D

    chayo chayo!
    and, mana my banner! :p

    ReplyDelete
  3. oo..haah la..truly forgot to change it..okeh2..thanx..any suggestion on the colour?bagi la yang cun2 sket..hee..

    ReplyDelete
  4. o ye..1 more thing..where is your banner and also ur links?

    ReplyDelete
  5. cbe masuk www.licenselicense.blogspot.com; ada link untuk banner and url.
    btw, kaler kuning tu da kena da :)

    ReplyDelete