Monday, February 7, 2011

Jom Phuket!

Phuket
(27/10/2009 - 30/10/2009)

Ejen Pelancongan:Persendirian
Jumlah Bayaran:RM635 seorang (Termasuk penginapan dan cukai penerbangan)
Hotel:The Royal Paradise Hotel (membekalkan makanan halal)
Kadar Matawang:RM 1 = THB10.15 (Baht)
Perbezaan Waktu:-1 jam dari Kuala Lumpur (+7:00GMT)



Maklumat yang diperolehi semasa berada di Phuket adalah agak terhad memandangkan cuaca sewaktu berada di sana adalah 70% hujan. Jadi kami hanya berkesempatan untuk pergi ke tempat-tempat tertentu yang mungkin tidak berapa menarik untuk diterokai. Walau bagaimanapun, masa yang ada kami gunakan sepenuhnya dengan sebaik mungkin.



Hari Pertama : 27/10/2009


Destinasi Utama:Phuket
Jumlah Bayaran:RM635 seorang (Termasuk penginapan dan cukai penerbangan)
Bertolak:Lapangan Terbang LCC, Kuala Lumpur - 7.10am
Tiba:Lapangan Terbang Phuket, Thailand - 9.15am
Suhu Persekitaran:18oC
Jumlah Perbelanjaan :THB 699 (Pengangkutan - Teksi)



Airport Taxi Service


Setibanya di Lapangan Terbang, kami terus menuju ke The Royal Paradise Hotel dengan menaiki teksi yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Di dalam perjalanan, kami telah diberhentikan sebentar di kiosk Phuket Holiday Tour. Di sini kami telah mengambil peluang untuk menyertai aktiviti lawatan ke Phang Nga Bay dan James Bond Island. Kami juga menempah teksi dari hotel ke Lapangan Terbang Phuket bagi 31/10/2009.
 

Pemandangan dari dalam teksi
Kemudian, kami menyambung perjalanan ke hotel dan perjalanan yang dilalui agak membosankan. Walau bagaimanapun, setibanya di pekan berdekatan Hotel Kamala, terlihat sebuah masjid yang agak besar dan menunjukkan kepadatan penduduk Islam di sekitar itu. Bermula di situ, pemandangan budaya yang ditunjukkan agak menarik. Setelah diteliti, bandar tersebut penuh dengan kabel-kabel telefon, elektrik yang tidak tersusun, berselirat, pening dan agak unik untuk dibandingkan dengan Malaysia.


The Royal Paradise Hotel

Pemandangan dari hotel

50 minit kemudian kami tiba di hotel. Agak bertuah kerana hotel yang kami tempah ini memang cantik. Bilik yang kami tempah juga adalah memuaskan. Luas, dan segala kelengkapannya adalah sempurna. Setelah tiba di hotel, kami terus bercadang untuk berjalan di sekitar hotel, namun hasrat tersebut tidak kesampaian memandangkan hujan turun dengan lebatnya pada petang itu dan kami sekadar duduk di bilik, menunggu hujan reda.

 

Ratuthit Songroipi Road

Pukul 3.00pm barulah hujan berhenti dan kami tidak melepaskan peluang untuk berjalan di sekitar itu. Apa yang menarik perhatian kami adalah terdapat banyak rumah urut di situ. Setiap saat perjalanan kami penuh dengan perempuan-perempuan seksi yang memangggil-manggil menunggu pelanggan untuk merasa urutan mereka. Sekali-sekala rasa teringin untuk mencuba memandangkan harga yang diletakkan adalah murah dan berpatutan iaitu lebih kurang THB200 sahaja untuk sejam. Setelah diamati, baru kami sedar yang perempuan-perempuan tersebut kebanyakannya adalah lelaki. Mendengarkan suara dan bentuk badan yang sasa memang tidak mustahil lagi. Kami sekadar ketawa melihatkan keadaan tersebut.

Hanya sebentar sahaja perjalanan kami, hujan muncul semula. Kami terus berlari menuju ke pusat membeli belah berdekatan iaitu Jung Ceylon. Reda sahaja hujan, kami terus menuju semula ke hotel berteduhkan payung yang kami beli di Jung Ceylon. Tiba di hotel, hujan kembali lebat.

 
The Orient Restaurant
Pada waktu malam, kami memulakan acara mencari restoran untuk mengisi perut yang kosong. Selepas 10 minit berjalan, kami menuju ke sebuah restoran Arab. The Orient Restaurant. Tanpa memerhatikan menu yang disediakan, rupa-rupanya kami telah terperangkap di sebuah restoran yang agak mahal. Mujur menu yang disediakan adalah sedap dan menyelerakan. Tidak member peluang untuk kami merungut sedikit pun. Pada malam itu sahaja kami telah berhabis THB1,200 untuk dua orang.


Hari Kedua: 28/10/2009

Destinasi Utama:Phang Nga Bay & James Bond Island
Jumlah Perbelanjaan:THB1,000 seorang (Pakej Pelancongan - Aktiviti dan Lawatan)


Phang Nga Bay National
Park Area

Pagi pada jam 8.30am, selesai bersarapan di hotel, sebuah van telahpun menunggu kami di hadapan ruang legar hotel. Kemudian, van tersebut mengambil beberapa pelancong lagi yang akan ke tempat yang sama. Seperti yang telah dijanjikan melalui pakej pelancongan yang telah kami tempah, van tersebut terus membawa kami ke Phang Nga Bay National Park. Di situ terdapatnya sebuah jeti dan bot semuat 40 orang yang akan membawa kami ke  pulau-pulau yang dijadualkan.

 
Panak Island
Bermula di jeti Phang Nga Bay, kami menuju ke Panak Island. Di situ kami diberikan peluang untuk berkayak melalui gua yang mempunyai keunikan tersendiri. Walau bagaimanapun, kami memilih untuk mempunyai pembantu kayak bagi memastikan kami dapat menyaksikan struktur geologi dan keindahan alam yang terdapat di situ. Memang tidak disangka bahawa di setiap pulau-pulau kecil ini tersimpan keindahan alam semula jadi di sebalik gua-gua tersebut.

 
Koh Panak - Rock with Elephant
Figure
Selesai berkayak selama 30 minit, kami terus menaiki bot semula dan terus menuju ke Hong Island. Di sini, sekali lagi kami berkayak untuk memasuki pintu gua yang sangat kecil. Setelah 3 minit berkayak, barulah kami menemui ruang yang begitu cantik dan tidak pernah terusik oleh arus kemajuan. Sungguh asli.

 

Bufet Makan Tengahari
Selesai berkayak di Koh Panak, kami diberikan santapan makanan laut yang sungguh menyelerakan. Pakej yang disediakan disertakan dengan air kotak, air gas dan air panas tanpa terhad serta jamuan makanan tengahari. Kemudian kami terus dibawa ke Koh Ping-Gan atau lebih dikenali sebagai James Bond Island.

 
James Bond Island
Di James Bond Island terdapat gerai-gerai jualan barangan perhiasan, hadiah dan sebagainya. Ia juga sesuai untuk dijadikan ole-ole bagi anda yang berkeinginan untuk mendapatkannya. Pemandangan di James Bond Island adalah begitu menyenangkan. Walaupun adakalanya merasa rimas dengan kehadiran penjual-penjual di situ, keindahannya tetap terjaga. Anda boleh bergambar sepuas-puasnya dengan keindahan yang berada di pulau tersebut. Sedikit sejarah, pulau ini dinamakan James Bond Island berikutan dari penggambaran filem James Bond yang dijalankan di pulau ini. Jika ditanya bagi episod yang mana, sememangnya saya tidak pasti. 



Lawa Yai Island
Selesai di James Bond Island, kami telah diberhentikan seketika di sebuah pulau lain iaitu Lawa Yai Island bagi aktiviti persendirian. Di sini, kami diberikan masa untuk beriadah selama 30 - 40 minit. Kami telah diberikan kayak dan dibenarkan untuk menggunakannya di sekitar bot tersebut sehingga ke pulau terdekat. Seperti pelancong-pelancong lain, kami juga tidak melepaskan peluang untuk pergi ke pantai berdekatan dan berkelah sebentar.


Selesai sehari di Phang Nga Bay National Park, kami terus pulang ke hotel. Letih tetapi menyeronokkan. Yang paling penting, percutian di Phuket sekurang-kurangnya dapat menambah ilmu kami berkenaan struktur geologi yang terdapat di situ.
 

Hari Ketiga: 29/10/2009

Destinasi Utama:Pa Tong Beach & Jung Ceylon
Jumlah Perbelanjaan:Tiada (Pengangkutan - Berjalan kaki)



Steamed Fish
Hari ketiga kami begitu santai. Sejak pagi hujan tidak berhenti dan kami hanya berpeluang untuk bergerak pada jam 2pm. Aktiviti pertama adalah mencari makan tengahari. Kami sekadar ke gerai yang terletak berhadapan dengan hotel. Semamangnya tiada tanda halal di situ. Walau bagaimanapun, kami diberitahu gerai tersebut tidak menghidangkan daging khinzir dan mencadangkan kami untuk menjamah makanan laut sahaja. Memandangkan restoran halal yang terdapat Pa Tong semuanya mahal, kami pun mencuba makanan di kedai itu buat pertama kalinya. Memang memuaskan. Kami dapat rasakan keenakan masakan siam yang memang asli.



Pa Tong Beach

Kemudian kami ke pantai yang berhadapan dengan Bangla Road. Pada saya, keadaan di situ tidak seperti yang dibayangkan. Memang banyak aktiviti riadah yang disediakan, tetapi keadaan lautnya agak keruh dan hanya seperti pantai di Malaysia. Mungkin disebabkan oleh keadaan semasa yang semakin maju dan banyak projek-projek yang dijalankan berdekatan pantai ini.
 

Jung Ceylon

Tepat jam 6pm, hujan mula turun dan kami terus berlari ke arah hotel semula. Setelah teringatkan Jung Ceylon yang berdekatan, kami terus menghala ke situ untuk melihat pusat membeli belah yang terkenal di Phuket. Melihatkan keadaan di situ, ia kelihatan sepeti susun atur The Curve, Kuala Lumpur. Tetapi tengah-tengah bangunan tersebut terletaknya sebuah model kapal layar yang besar. Pada jam 8 malam, berlangsungnya acara lampu dan air pancut berirama di kapal tersebut. Mungki itulah tarikan sebenar Jung Ceylon. Sesuai dengan maknanya iaitu Kapal Ceylon.
 

Hari Keempat: 30/10/2009

Destinasi Utama:Pulang ke Kuala Lumpur
Jumlah Perbelanjaan:THB500 (Pengangkutan - Teksi ke Lapangan Terbang Phuket)


Pada hari ini, kami sekadar bersiar-siar di sekitar Pa Tong Beach dan mencari ole-ole terakhir yang boleh dibawa pulang ke rumah. Agak meletihkan apabila kami tak habis-habis menunggu hujan berhenti. Petang barulah kami berpeluang untuk ke food court Jung Ceylon untuk mencari makan.

 
Selesai di situ, kami terus menaiki teksi ke airport. Percutian kali ini memang tidak memuaskan. Kami mungkin tersalah pilih masa memandangkan musim ini merupakan musim hujan, maka aktiviti yang dapat kami lakukan adalah sangat terhad. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai cadangan untuk berjalan ke Asia Tenggara, pastikan anda memilih tarikh sebelum bulan 9 supaya tiada gangguan pada rancangan anda hanya disebabkan hujan yang turun tiba-tiba. Sekian dulu. Ikuti kisah yang lain pula! J

2 comments:

  1. ouh thankz bagi pencerahan Hotel Royal Paradise tu sediakan makanan halal.. camne arah kiblat kat hotel.. dorang ada kasi tau x?

    ReplyDelete
  2. Seingat saya, arah kiblat pun ada disediakan di hotel tu. Tapi tak ingat di mana arah tu disimpan. Untuk keselamatan, sediakan kompas di dalam fon ye. ;)

    ReplyDelete